Monday, October 26, 2009

Sejarah 5 Saudara

Ada lagi pendapat yang menarik, di mana dalam kertaskerja Ong Hak Ching dari Jabatan Sejarah UKM menyebutkan, Sultan Mansur Shah telah memberi tempat kediaman di Bukit Cina kepada Puteri Hang Li Po dan 500 dayang-dayangnya. Termasuk mereka yang belum Islam atau sudah Islam. Anak cucu mereka digelar ‘biduanda Cina’ yang bermakna ‘golongan yang dilindungi’.

Pada saya, mungkin dari sinilah lahirnya golongan ‘baba & nyonya Melaka’ yakni golongan Cina yang masih belum beragama Islam tetapi sudah berbudaya (berpakaian, bercakap, makan atau lain-lainnya) seperti orang Melayu, terdapat hingga ke hari ini di Melaka. Kerajaan waktu itu tidak memaksa mereka menganut agama pemerintah, menekan atau menghalau keluar dari negaranya sendiri seperti yang berlaku dalam kebanyakan negara-negara minoriti orang Islam hari ini.

Golongan seperti ini (yang belum Islam) dalam Negara Islam disebut ‘zimmi’, bermakna ‘yang dijamin’ (yakni dijamin keselamatannya oleh kerajaan Islam). Bagi golongan yang telah menganut agama Islam dan berbudaya Melayu waktu itu, mereka sudah tiada beza dengan orang Melayu dan larut dalam bangsa Melayu. Bukan itu sahaja, bahkan dalam budaya Melayu pun sudah diresapi pengaruh Cina. Umpamanya istiadat payung kuning di kalangan raja Melayu, gelaran ‘biduanda Cina’, hang, silat kuntau, ukiran pagoda di masjid-masjid Melaka dan sebagainya.

Di situlah perlunya Masjid Cina atau Pusat Kebudayaan Cina, untuk kembalikan balik budaya Cina di kalangan orang Cina yang beragama Islam, atau kepada orang Cina yang baru hendak masuk Islam. Mengikut Mohd Ridhuan Tee Abdullah yang mempertahankan pembinaan Masjid Cina,

“… senibina pun adalah anugerah Allah hasil kreativiti manusia ciptaan-Nya. Justeru, ia perlu saling diraikan antara satu sama lain selagi mana ia tidak bercanggah dengan syariat. Inilah keindahan Islam. Lagipun, ia adalah alat dakwah yang membawa makna yang cukup besar.”

Begitupun, Masjid Cina bukan untuk orang Cina sahaja, seperti juga Masjid Melayu di Pulau Pinang dan Masjid India yang ada hampir di seluruh negara bukan digunakan oleh sesuatu bangsa sahaja. Jadi, ciri-ciri Masjid Cina perlu diluaskan perbincangannya. Konsep pembinaan dan peranaannya perlu diperjelaskan.

Seperti firman Allah SWT; ‘Wahai manusia, sesungguhnya Kami ciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu saling kenal-mengenal.’ (Hujurat: 13)

Tidak timbul soal perkauman seperti yang dicanang oleh golongan yang tidak mahu pembinaan Masjid Cina. Contohnya, di bandaraya Pulau Pinang sendiri pun sudah ada Masjid Melayu, Masjid Capitan Keling, Masjid Benggali dan Masjid Pakistan, takde gaduh-gaduh pun?!

Berbalik kepada kertaskerja Ong Hak Ching lagi, terdapat 3 andaian hipotesis mengenai hal yang disebutkan tadi. Pertama, tidak semua dari rombongan Puteri Hang Li Po itu memeluk agama Islam. Kedua, Hang Too Ah, Hang Jee Fatt, Hang Lee Ker dan Hang Lee Kiew adalah keturunan Puteri Hang Li Po. (Semua nama-nama itu bermula dengan ‘Hang’.) Ketiga, keempat-empat sahabat karib ini kemudiannya memeluk agama Islam, tetapi mengekalkan nama Cina mereka mengikut loghat Melayu.

Jadilah nama mereka seperti yang disebut dalam buku-buku sejarah Melayu sekarang, iaitu Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. (Kalau perkataan tuah, jebat dan kasturi ada maknanya dalam bahasa Melayu, bagaimana dengan makna lekir dan lekiu? Tandanya nama-nama ini bukan asal dari Melayu..)

Kesimpulannya, Hang Tuah adalah lagenda pahlawan Melayu. Ianya dijadikan simbol dan kemegahan Bangsa Melayu, walaupun sebenarnya beliau adalah orang Cina yang di ‘Melayu’kan. Begini asal usulnya menurut hipotesis itu…

Hang Tuah, adalah anakcucu kepada keturunan rombongan Puteri Hang Li Po berbangsa Cina, yang datang dari negeri China ketika pemerintahan Sultan Mansur Shah. Pendapat ini tidak sama dengan apa yang saya pernah sebutkan dalam tulisan pertama (Masjid Cina: Orang Cina Tolong Melayu. iaitu “…Mereka adalah pendekar-pendekar Cina yang dihantar oleh kerajaan Cina untuk mengawal puteri Hang Li Po”).

Nama asalnya ialah Hang Too Ah. Tetapi setelah memeluk Islam dan berkhidmat dengan Sultan Melaka, sebutan namanya ini telah bertukar menjadi Hang Tuah. Pengislaman Hang Tuah telah mempengaruhi rakan karibnya yang 3 lagi, iaitu Hang Jee Fatt, Hang Lee Ker dan Hang Lee Kiew, yang juga akhirnya masuk Islam. Mereka pula bergaul rapat dengan Kasturi, rakan sebaya yang berbangsa Melayu. Sebagai tanda persahabatan yang abadi, Kasturi pun diberi gelaran ‘Hang’, menjadi Hang Kasturi.


No comments: